Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Selasa, Februari 10, 2009

Kutipan Jumaat Untuk Rakyat Palestin Berjumlah RM 2,728,675.78

PUTRAJAYA 1 Februari 2009 - Majlis Penyerahan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh para jemaah masjid seluruh Malaysia telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Auditorium D8, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Jakim begitu berbesar hati menerima kehadiran tetamu kehormat iaitu Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Y.A.B Timbalan Perdana Menteri yang sudi menyempurnakan majlis tersebut. Turut hadir ialah Y.B Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Y.Bhg Datuk Mohamad Kamal Yan bin Yahya, Timbalan Ketua Setiausaha 2, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Ketua Pengarah Jakim, Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz serta Yang DiPertua/Pengarah-Pengarah Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

PALESTIN P

Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang juga bertindak selaku penaung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin dalam ucapannya menyeru agar semua warga Malaysia bersama-sama menyumbang wang ringgit dan juga hendaklah sentiasa bersatu-padu bagi mengelakkan daripada berlaku perkara-perkara yang tidak diingini di negara ini. Y.A.Bhg Datin Paduka Seri turut menyatakan rasa syukur dan bangga kerana masjid-masjid di Malaysia bukan hanya berperanan sebagai tempat ibadat semata-mata bahkan telah berjaya melaksanakan tanggungjawab sosial dalam menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kebajikan dan kemaslahatan ummah.Sebanyak RM 2,728,675.78 telah berjaya dikumpulkan hasil kutipan 3 kali solat Jumaat di masjid-masjid seluruh Malaysia. Cek-cek sumbangan ini telah diserahkan kepada Wisma Putra untuk bantuan kemanusiaan di Palestin.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kumpulan Nakasutra, nyanyian puisi oleh Saudara Zubir Ali, deklamasi puisi oleh adik Nurul Atiqah binti Abd. Ghaffar dan diakhiri dengan tayangan klip video yang memaparkan penderitaan rakyat Palestin kesan dari serangan Zionis. Majlis diakhiri dengan bacaan doa yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail bin Muhammad telah menyentuh hati semua tetamu yang hadir. Jakim mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas kesudian menghulurkan bantuan bagi membantu mengurangkan kesengsaraan dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestine. Semoga Allah akan menggantikan ganjaran dengan limpahan rahmatnya atas setiap bantuan yang dihulurkan.

Sumber : Laman web rasmi JAKIM

Tiada ulasan: