Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Isnin, November 02, 2009

Masjid Besi (Steel Mosque), Putrajaya, Malaysia

3844615968_ac2b83ec7d_b

SEKIRANYA masjid lain di Malaysia lebih banyak menggunakan gabungan elemen Monghul, Uthmaniyah dan Eropah, masjid yang terletak di Presint 3, Putrajaya ini sebaliknya berbeza.

Menjadikan ayat 57 surah al-Baqarah sebagai teras pembinaan, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mula beroperasi pada 1 Ramadan lalu memberi signifikan dari segi kerohanian, teknologi dan arkitektur.Dikenali juga sebagai Masjid Besi, masjid yang dibina di tepi tasik dan terang-benderang pada waktu malam ini berupaya menampung seramai 50,000 jemaah. Udaranya yang kekal nyaman walaupun tanpa pendingin hawa atau kipas ternyata memberi keselesaan kepada jemaah.

Anyaman besi tahan karat

Aspek terbuka cukup ketara sebaik sahaja pengunjung menjejakkan kaki ke dalamnya. "Tiada struktur konkrit besar digunakan di ruang solat utama. Ini menjadikan ruang ini lebih berangin sementelah ia terletak di tepi tasik. "Justeru, gabungan lantai marmar serta angin tasik membuatkan ruang tersebut sentiasa nyaman," ungkap Ridzwan. Masjid ini menggunakan 70 peratus besi atau anggaran sebanyak 6,000 tan besi keluli sebagai bahan binaan utamanya manakala selebihnya adalah konkrit.

Malah besi tersebut juga memudahkan arkitek mereka bentuk gerbang masuk dengan lebih teliti, halus dan berseni. Tambah Ridzwan, meskipun masjid ini menggunakan konsep terbuka, dengan adanya skrin Mashrabiyah, jemaah tidak perlu gusar apabila hujan. "Fungsi utama kombinasi anyaman besi tahan karat atau Architectural Woven Wire Mesh dan steel latticework yang diimport dari Jerman ini ialah sebagai penahan tempias hujan di ruang solat utama. Ia juga membenarkan cahaya dan tiupan angin menembusinya," ujarnya.

IMG_5236

Menyentuh mengenai aspek perapian, kepingan cermin yang berukir ayat-ayat suci al-Quran di Dinding Mihrab adalah bersifat antipantulan cahaya. Secara tidak langsung, ciri tersebut menjadikan tulisan khat tersebut kelihatan seolah-olah terapung. Di bahagian luar, jejantas Kiblat Walk yang menghubungkan Dataran Putrajaya dengan bangunan masjid menambahkan lagi keistimewaan Masjid Besi. Jejantas seluas 13,639 meter persegi itu dihiasi kolam air di tepiannya.

Jemaah juga perlu melalui Iwan Utama atau pintu gerbang utama menuju ke laman yang dikenali sebagai 'Sahn'. Binaan konkrit putih itu dilatari tulisan kaligrafi 99 nama Allah, Asma ul-Husna. Masjid ini mempunyai tiga gerbang utama dan setiap satunya selari antara satu sama lain dan berada dalam kedudukan lurus hingga ke ruang utama solat."Dengan adanya laluan ini, para jemaah dari Dataran Putrajaya terutama kakitangan kerajaan hanya perlu berjalan kaki untuk mengunjungi masjid ini dan sekali gus mengurangkan masalah meletak kenderaan.

Taman mini Sahn

Sahn pula ialah satu ruang terbuka di luar masjid yang perlu dilalui sebelum jemaah memasuki ruang solat utama. "Ia seolah-olah sebuah taman mini yang membolehkan pengunjung berehat atau kanak-kanak bermain sementara menanti ibu bapa beribadat," kata Ridzwan. Elemen utama masjid iaitu kubah turut dititikberatkan. Dengan garis pusat 48 meter, arkiteknya memilih bahan besi tahan karat. Bagi memastikan strukturnya kalis air dan mengelakkan kebocoran, kubah itu diliputi sebanyak tiga lapisan lengkap dengan titi khas bagi kerja-kerja penyelengaraan.

Tiada ulasan: