MELINTASI dua jambatan utama Mussafah dan Maqta di ibu kota Emeriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi, susuk bangunan putih yang tersergam indah, pasti mencuri tumpuan setiap yang melintasi jalan sibuk tersebut.
Apa tidaknya, bangunan yang berdiri gah itu ialah Masjid Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan. Masjid indah yang mengambil sempena nama pengasas dan presiden pertama UAE, telah dibuka secara rasmi pada bulan Ramadan 2007. Ia juga dipanggil Masjid Agung oleh penduduk tempatan situ. Menurut pemandu yang membawa kumpulan media massa dari Malaysia, Indonesia dan Filipina, Masjid Sheikh Zayed bukan sahaja tersenarai antara masjid tercantik di dunia tetapi kedudukannya adalah dalam tangga lima teratas sebagai masjid terbesar di dunia. Ujarnya lagi, lawatan ke Abu Dhabi tidak akan bermakna dan tidak sempurna sekiranya tidak melawat ke masjid ini. Penulis mengakui ada logiknya juga saranan beliau itu, ini kerana dalam jadual lawatan, lokasi ini adalah senarai teratas tempat-tempat menarik di Abu Dhabi yang mesti dibuat liputan. Apa pun gelaran dan pencapaiannya, waima landskapnya yang belum siap sepenuhnya, namun senario di bahagian dalam masjid, memang jauh berbeza. Aspek keunikan seni bina dan reka bentuk yang ditonjolkan, gerenti membuat setiap pengunjung hilang kata-kata.
Malah terik mentari di luar yang hampir mencecah 48 darjah Celsius, sedikitpun tidak menjejaskan tumpuan penulis berserta lima lagi wartawan yang hanya terkedu kaku, sambil mata meliar dan tidak mahu ketinggalan merakamkan sudut-sudut menarik di dalam masjid. Kunjungan rombongan media massa dari Asia Tenggara ini adalah atas undangan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh Malaysia, AirAsia X, sempena pengumuman destinasi baru mereka iaitu ke Abu Dhabi, sebagai laluan pertama Air Asia ke Timur Tengah bermula November ini. Ketibaan rombongan kami disambut wanita manis berjubah hitam dari Lembaga Pelancongan Abu Dhabi (ADTA) yang hanya ingin dikenali sebagai Fatimah. Menurut beliau, reka bentuk Masjid Sheikh Zayed adalah ilham seni bina masjid Mughal dan Moor (Moorish). Ia juga jelas dipengaruhi dari Masjid Badshahi di Lahore, Pakistan dan Masjid Hassan II di Casablanca di Maghribi.
"Reka letak kubah dan pelan lantai masjid ini adalah inspirasi dari Masjid Badshahi dan seni binanya pula adalah hasil ilham reka bentuk daripada Mughal dan Moor, terutamanya Masjid Badshahi dan Masjid Hassan II. "Pintu gerbangnya pula adalah contoh unggul pengaruh Moor dan menara (minaret) adalah daripada pengaruh Arab. Oleh itu, reka bentuk masjid ini paling tepat digambarkan sebagai gabungan seni bina Arab, Mughal dan Moor," terang Fatimah mesra.
Tambahnya, ADTA telah mengumumkan pembukaan masjid tersebut kepada para pelancong Islam dan bukan Islam bermula pertengahan Mac 2008 dengan harapan untuk mempromosikan kebudayaan dan pemahaman terhadap agama Islam. "Masjid Sheikh Zayed dilihat sebagai sebuah mercu tanda tersohor, kerana membawa sentuhan pelbagai kepakaran, rekaan, bahan binaan dari seluruh dunia seperti; Itali, Jerman, Maghribi, India, Turki, Iran, China, Greece dan tidak ketinggalan dari rantau Asia Barat sendiri.
"Reka bentuk seni bina masjid ini pada peringkat awalnya diilhamkan oleh arkitek berbangsa Maghribi. Pun begitu, sepanjang perkembangan pembinaannya terselit ciri-ciri global termasuk pada bahagian dinding luar yang menampilkan reka bentuk tradisional Turki. Malah penggunaan bahan-bahan semula menjadi pilihan iaitu; batu marmar, emas, batu permata, kristal dan seramik. "Uniknya juga, masjid ini mempunyai sebanyak 57 kubah meliputi bahagian laman luar dan bangunan utama. Kubah-kubah yang dihias indah dengan batu marmar putih berukiran. Bahagian laman dalamnya pula diturap dengan mozek dan marmar berwarna-warni dengan motif bunga-bungaan terbentang seluas 17,000 meter persegi.
"Berbalik kepada kubah utama masjid ini, ia berukuran garis pusat 32.7 meter dan 70 meter tinggi dari dalam dan 85 meter dari luar," kata Fatimah yang sekaligus membolehkan ia diisytiharkan sebagai sebagai kubah yang terbesar di dunia. Di masjid ini juga terdapat sebanyak 1,096 tiang pada bahagian luar masjid dan 96 tiang di ruang solat utama yang menggunakan ukiran buatan tangan pada panel-panel batu marmar yang diselaputi dengan batu permata termasuk lapis lazuli, batu akik merah, batu kecubung dan mutiara. Di samping itu, empat menara (minaret) setinggi 115 meter didirikan pada setiap penjuru masjid. Tasik buatan seluas 7,874 meter persegi dengan kemasan lantai jubin berwarna gelap, kemas mengelilingi masjid. Kolam ini secara tidak langsung, memantulkan bayang-bayang indah masjid, lebih-lebih pada waktu malam. Masjid ini memukau dengan kilauan cahayanya yang terang benderang.
Bercerita tentang masjid, tidak lengkap sekiranya tidak disentuh tentang ruang solat utama. Masjid Zayed mempunyai ruang solat utama yang bukan sahaja luas tetapi menekankan ciri-ciri kemewahan. Apa tidaknya, hiasan dalamannya sahaja diperindahkan dengan penggunaan marmar putih bertatah reka bentuk motif bunga-bungaan yang menghiasi ruangan dewan solat. Manakala dinding dalam masjid, dihiasi dengan dekorasi 24 karat emas daripada kaca mozek. Ruang utama solat ini juga mengetengahkan permaidani Parsi buatan tangan yang terbesar di dunia. Seperkara lagi yang menakjubkan tentang Masjid Sheikh Zayed ialah berkenaan dengan tujuh buah lampu candelier yang dihiasi dengan saduran 24 karat emas yang diimport dari Jerman serta direka dengan kilauan kristal swarovski.
"Candelier paling besar yang digantungkan pada kubah utama masjid dikatakan sebagai paling besar di dunia dengan ukuran garis pusat 10 meter, 15 meter tinggi dan berat antara lapan hingga sembilan tan. "Manakala dinding kiblat yang berukuran 23 meter tinggi dan 50 meter lebar, menggunakan dekorasi yang agak sederhana, supaya tidak mengganggu konsentrasi serta kekhusyukan ketika solat.
"Bagaimanapun, penggunaan 99 nama Allah pada dinding kiblat dengan kaligrafi kufi tampak menarik dengan iluminasi menggunakan pencahayaan fiber optik. 24 karat emas, daun emas dan mozek kaca emas turut digunakan di bahagian mihrab," kata Fatimah. Kami turut terpegun berada di ruang solat utama ini terutamanya sebaik melihat 80 panel Iznik yang dihiasi dengan jubin seramik yang popular pada kurun ke-16, mengetengahkan ciri-ciri utama empayar kerajaan Istanbul dan bangunan-bangunan agama. Kami difahamkan bahawa ia adalah seni ukiran asli, setiap jubin telah direka bentuk oleh pakar kaligrafi berbangsa Turki bernama, Othman Agha. Tiga jenis kaligrafi tulisan kufi, Nasakh dan Tuluth digunakan pada setiap sudut masjid dan diukir oleh Mohammed Mendi (UAE), Farouk Haddad (Syria) dan Mohammed Allam (Jordan).
Masjid Sheikh Zayed dikatakan mampu menampung lebih 40,000 jemaah, merangkumi dewan solat utama dan laman dalam. Pada dewan solat utamanya sahaja boleh menempatkan lebih 9,000 jemaah pada satu-satu masa. Dua buah bilik yang terletak bersebelahan dengan ruang solat utama itu pula, masing-masing boleh menampung seramai 1,500 orang dan ia dikhaskan untuk kaum wanita. Sungguhpun Masjid Sheikh Zayed ini telah dibuka kepada umum, namun persekitarannya masih dalam pembinaan. Dimaklumkan, apabila siap sepenuhnya, masjid ini akan dikelilingi dengan pancuran air dan taman-taman hijau.
Sumber : Utusan Malaysia 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan