Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Khamis, Ogos 28, 2008

Puasa Sebagai Ujian Keikhlasan

Puasa mirip suatu rahsia (sirr) yang sukar untuk dibongkar kerana, berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain, ia tidak mempunyai bentuk-bentuk perlakuan yang boleh diperhatikan. Sebagai contoh, ketika bersembahyang, seseorang itu memang melakukan beberapa gerakan atau perbuatan yang mudah dilihat, seperti ruku’ dan sujud. Tetapi dalam kes puasa, selain daripada ketulusan niat yang sememangnya hanya Tuhan sahaja yang boleh menilik dan menilainya, yang diperlukan hanyalah kekangan diri dari keseronokan-keseronokan jasmaniah semata-mata (al-imsãk al-mujarrad). Sememangnya tidak jelas kelihatan unsur-unsur yang secara positif membentuk puasa (muqawwim). Dengan kata lain, ‘puasa tidak memiliki apa-apa rupa-bentuk dalam kewujudan’ (anna al-sawm Ia sürah lahufi al-wujüd). Jika tidak dikhabarkan kepada orang lain, tiadalah diketahui sama ada seseorang itu sedang berpuasa atau tidak. Oleh yang demikian, puasa benar-benar menyempitkan peluang untuk riyã’ sedangkan pintu gerbang untuk seseorang mengabdikan diri sepenuh dan setulennya kepada Tuhan terbuka seluas-luasnya. Justeru, dalam satu hadis Nabi disebut bahawa ‘Tiada riya dalam puasa.

Tiada ulasan: