Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rabu, November 02, 2011

Disebalik Rasm Al-Quran


Ilmu Rasm jarang dibincang secara terbuka di masjid dan surau sebagaimana ilmu tafsir, fikah, tauhid dan lain-lain. Kebiasaannya ia dibincang di kelas pengajian al-Quran bersama dengan ilmu tajwid, dabt dan qiraat. Ramai masyarakat lebih tertumpu kepada memahami makna al-Quran. Ini selaras tujuan Quran diturunkan adalah menjadi panduan hidup. Selain itu, ia didorong oleh faktor guru yang ramai dan berkemampuan, di samping kitab tafsir yang banyak dan mudah didapati di pasaran.

Kandungan ilmu Rasm Quran adalah menghurai berkaitan hazf huruf, ithbat huruf, badal, berkaitan huruf hamzah, wasl, fasl (sambung dan pisah kalimah) dan berkaitan dua qiraat yang ditulis dengan satu tulisan. Ia lebih bersifat ilmiah dan amat sesuai dipelajari bagi yang mendalami tatacara penulisan al-Quran.

Namun ia adalah maklumat penting yang perlu ada untuk memahami cara penulisan al-Quran. Rasm al-Quran yang diamalkan dalam mushaf pada masa ini, bermula di zaman Rasulullah SAW. Kebanyakan ulama menyatakan ia adalah tauqifi. Rasulullah amat memberi perhatian kepada wahyu yang diturunkan kepadanya dan amat amanah dalam menyampaikan wahyu tersebut.

Baginda juga mengarah para sahabat menulis wahyu dan apabila siap menulis wahyu, baginda meminta penulis wahyu membacakan kepadanya bagi tujuan memastikan ia ditulis dengan tepat. Abdul Aziz al-Dabbagh menyatakan bahawa tidak ada seurat rambut pun bagi sahabat r.a dan yang lain dalam urusan penulisan al-Quran. Tetapi ia adalah tauqif daripada Rasulullah SAW. Bagindalah yang mengarah kepada mereka menulis mengikut keadaan tersebut sama ada menambah alif atau mengurangkannya.

Seterusnya baginda menyatakan jika susun atur al-Quran adalah mukjizat maka rasmnya juga adalah mukjizat.

Bagi mereka yang selalu membaca al-Quran dan memerhatikan bentuk tulisannya akan mendapati beberapa kelainan tulisan walaupun pada kalimah yang sama. Umpamanya kalimah Ibrahim di ayat 124, 125, 126 surah al-Baqarah di tulis dengan huruf ya' kecil antara huruf ha dan mim di atas kalimah. Tetapi kalimah Ibrahim dalam surah Maryam di ayat 41, surah Saffat ayat 83 ditulis dengan huruf ya' dalam kalimah.

Dalam bab tulisan ta' marbutah atau dipanggil ta simpul dan ta' maftuhah terdapat kalimah yang sama seperti syajarah yang bermaksud pokok. Dalam surah al-Israk ayat 60, syajarah ditulis dengan ta' marbutah. Begitu juga tulisannya dalam surah al-'Araf pada ayat 19, 20 dan 22. Tetapi dalam surah al-Dukhan ayat 43, kalimah syajarah ditulis dengan ta' maftuhah.

Bagi kalimah al-Quran yang terdapat dalam beberapa surah ditulis dengan dua bentuk. Pertama, ithbat alif selepas huruf hamzah seperti di ayat 9 surah Israk, ayat 77 surah al-Waqiah, ayat 21 surah al-Hasyr dan lain-lain. Bentuk kedua ditulis dengan hazf alif selepas huruf hamzah di dua tempat sahaja iaitu di ayat kedua surah Yusuf dan ayat ketiga surah al-Zukhruf.

Kesemua tulisan dalam al-Quran adalah tauqifi dan rahsia perbezaan tulisan dalam kalimah yang sama bentuk tulisan dan maknanya tidak diketahui secara jelas kehendaknya. Namun terdapat juga ulama yang menghurai maksud perbezaan tulisan tersebut. Rasm al-Quran adalah unik dan perlu kepada pengamatan dan jika susun atur kalimahnya mukjizat maka tulisannya juga adalah mukjizat.

Sumber dipetik dari Utusan Malaysia, catatan oleh Saudara Khairul Anuar Mohamad
Illustrasi oleh : muslimvideo.com

1 ulasan:

Syarif berkata...

info yang menarik.

Ikuti Maklumat kami dalam emel anda !