Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sabtu, Februari 21, 2009

Husayn Newton – Kisah Pemuda disebalik Nur Islam

HUSAYN NEWTON

KEFASIHAN pemuda yang berasal dari Tasmania, Australia ini berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan loghat pantai timur. Kalau tidak melihat orangnya, pasti penulis menjangkakan beliau orang tempatan.
Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih membanggakan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh singkat. Kejayaannya membuktikan kebenaran pepatah Melayu, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’
Corey Blake Newton atau nama Islamnya, Husayn Newton, 22, dilahirkan di Brisbane, Australia sebelum keluarganya berpindah ke Tasmania, sewaktu usianya mencecah alam kedewasaan.
Penulis diperkenalkan dengan anak kedua daripada tiga adik-beradik ini oleh Ustaz Amran Abdullah dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Tanpa melengahkan masa, penulis menghubungi telefon bimbitnya.
Bagaimana mesra perbualannya di dalam telefon, begitu jugalah perwatakan Husayn sepanjang temu bual kami. Orangnya mudah tersenyum, lancar berbicara, cepat mesra, berbudi bahasa menyebabkan dirinya menjadi perhatian orang sekeliling sepanjang sesi temu bual di sebuah coffee house di KL Sentral, baru-baru ini.
“Saya masih ingat semasa usia saya antara 15 hingga 16 tahun, kehidupan sosial saya terlalu bebas. Boleh dikatakan tidak ada sesuatupun yang membataskan perbuatan teman-teman dan saya. Tetapi satu perkara yang saya sedar, setiap perbuatan yang kita lakukan pasti ada balasannya.
“Semenjak itu, saya mula memikirkan soal balasan Tuhan dan setiap detik itulah hati saya rasa tidak tenang. Lantaran itu, saya mula mencari jawapan keresahan itu menerusi agama Kristian, Buddha dan Hindu.
“Sayangnya semua yang dipelajari itu umpama angin, tidak ada satu pun yang dapat dipegang atau dengan kata lain, tidak ada sesuatu yang dapat menarik perhatian saya,” cerita Husayn sebagai mukadimah bicaranya petang itu.
Sambung beliau, apa yang menjadi titik perubahan ialah apabila mengikuti mata pelajaran, Hak Asasi Manusia. Dari situlah beliau mengenali kisah dua tokoh terkemuka iaitu Malcom X dan Martin Luther King Jr. dan mulai saat itulah hatinya mula tertarik dengan kisah perjuangan mereka.
Selepas membaca autobiografi kedua-dua tokoh ini, beliau sedih dan terharu terutamanya kisah Malcom X kerana beliau beragama Islam. Kisah bagaimana penghijrahan akidahnya begitu menyentuh, menyebabkannya mula mengenali kitab al-Quran.
“Saya terus ke perpustakaan dan meminjam terjemahan al-Quran. Saya membawanya pulang ke rumah dan sedang saya asyik membaca terjemahan surah al-Fatihah dan al-Baqarah, ayah nampak. Dia sangat marah dan menyuruh saya memulangkannya kembali serta memberi amaran kepada saya supaya tidak lagi membawa apa berkaitan agama ke rumah lebih-lebih lagi yang bersangkut paut tentang agama Islam,” jelasnya.
Sungguhpun ayah berkeras, Husayn tetap berminat mendalami agama Islam yang baru dikenali. Beliau juga tergerak membeli kopiah untuk melaksanakan sembahyang. Berulang kali beliau menyelusuri lorong yang menjual barangan keagamaan Islam tetapi tidak bertemu dengan kopiah menyebabkannya hampa.
“Sekali lagi saya ke tempat yang saya, waktu itu hari Jumaat, pemilik kedai telah ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Saya terpaksa menunggu agak lama sebelum ditegur oleh seorang Imam dari Libya, yang bertanya adakah saya ingin memeluk agama Islam?,” kata Husayn yang memeluk Islam pada hari itu juga di Al-Mi’raj Sufi and Islamic Studies Centre, Hobart, Tasmania pada Mac 2000.
Pengislaman Husayn dilakukan oleh Imam Syeikh Ali El-Senossi. Malah pada hari itu juga, Husayn memperoleh kopiah yang dicari-cari sebelum ini.
Semenjak itu, beliau kerap menghabiskan waktunya di pusat tersebut biarpun sekejap. Malah didikan dan bimbingan daripada Imam Syeikh Ali El-Senossi berjaya mengubah dan memperbaiki pemahaman Husayn tentang Islam. Ini kerana ustaznya sentiasa membuat perbandingan agama Islam dengan agama-agama lain.
“Apa yang diajarkan oleh Islam semuanya masuk akal dan sesuai dengan fitrah manusia. Apatah lagi, apabila membaca al-Quran, hati menjadi tenang meskipun ayah amat membenci tindakannya memilih Islam.
“Dari saat itu juga bermulalah konflik hubungan dengan ayah. Namun, saya bersyukur kerana ibu tidak seperti ayah. Beliau amat memahami dan sentiasa menyokong biarpun kami berlainan agama.
“Kata ibu, dia nampak perubahan pada diri saya sebelum dan selepas memeluk Islam. Yang pastinya, beliau gembira dengan perubahan saya itu. Semenjak itu, ibu berusaha memudahkan terutamanya dalam apa juga keadaan,” kata Husayn bersyukur dengan penerimaan ibu walaupun teman-teman yang dahulunya rapat kini hubungan semakin renggang.
Akui Husayn lagi, beliau bersyukur kerana Imam Syeikh Ali El-Senossi sentiasa membantu terutamanya pada tahun-tahun awal pengislaman. Malah beliau menganggap insan ini seperti ayahnya kerana apabila bergelar Muslim, dia tidak rasa tersisih atau kecewa dengan layanan bapa kandung.
Menerusi pembacaan dan tunjuk ajar Imam Syeikh Ali El-Senossi dan dengan kuasa Allah s.w.t. Husayn memperoleh keyakinan dan kemantapan iman. Inilah apa yang dikatakan kemanisan iman, akui Husayn.
Bagaimana beliau berada di Malaysia? Kata Husayn ini juga ialah atas usaha dan sokongan Imam Syeikh Ali El-Senossi. Pengalaman beliau yang berada di banyak negara Islam, salah satunya Malaysia menyebabkan beliau mencadangkan agar Husayn ke negara ini. Katanya, Malaysia adalah yang terbaik.
“Pelawaan kenalan daripada kerabat Diraja Terengganulah yang menjadi penyebab saya ke negeri itu pada pertengahan 2006. Di Terengganu, saya tinggal di Kampung Jeram Manis, Kuala Terengganu.
“Sungguhpun tidak lama tetapi hidup dalam suasana kampung dengan bendang terbentang luas, lihat kerbau bermandi lumpur, kehidupan gotong-royong dan banyak lagi merupakan memori paling indah apatah lagi, berpeluang mendalami ilmu Islam.
“Macam macam gelaran yang diberikan kepada saya seperti Husin Lampoyang dan beberapa lagi. Keunikan budaya dan bahasa orang Terengganu, menambahkan lagi kemesraan sekali gus merapatkan hubungan sesama insan,” jelas Husayn yang kini menetap di Kuala Lumpur dengan sebuah keluarga angkat.
Berkongsi kekecewaannya dengan segelintir sikap masyarakat Malaysia, cerita Husayn, beliau agak terkejut apabila ada saudara sesama Islam bertanyakan agamanya sedangkan dia melihat Husayn mengambil wuduk, bersolat, berwirid dan berdoa. Tambah menyedihkan, apabila ada soalan-soalan yang berbau sinis atau mencurigakan itu keluar daripada mulut seorang yang digelar ustaz.
Walaupun menerima layanan ‘pelik’ sebegitu, ia tidak melenturkan azam dan keteguhan iman anak muda ini. Malah Husayn lebih bersyukur dengan perubahan sama ada dari segi kerohanian mahupun penampilan fizikal yang diperoleh semenjak bergelar Muslim.
“Saya semakin mengingati Allah waima dalam apa juga keadaan sama ada susah atau sedang. Ayat al-Quran yang bermaksud: Tidak Aku jadikan manusia dan jin itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku, sentiasa menjadi panduan dan sempadan sebagai makhluk di muka bumi ini.
“Selain itu, saya juga dapat rasakan kematangan yang lahir dalam diri. Kalau sebelum ini, hidup saya hanya suka berseronok dan tidak fikir apa-apa tentang kehidupan, kini pandangan tentang matlamat kehidupan sudah jauh berbeza. Malah saya belajar hidup berdikari,” tambahnya.
Apa tidaknya, apabila Husayn mengucap syahadah, ayah memulaukan beliau tetapi alhamdulillah sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu dan imam banyak membantunya.
“Kemudian apabila bergelar anak perantau, setiap detik dalam hidup ini banyak mengajar saya erti kehidupan. Di Malaysia ini juga, umat Islamnya tidak ada alasan untuk tidak mendalami ilmu agama Islam. Terlalu banyak sumber yang boleh diperoleh. Hanya perlu tepuk dada tanya diri,” katanya.
Menjawab sama ada beliau berhasrat bergelar pendakwah, menurut Husayn sebelum boleh berdakwah kepada kelompok yang lebih besar, beliau perlu menyempurnakan diri dari segala segi. Contohnya untuk berdakwah kepada saudara baru ataupun mereka yang berminat dengan Islam, kaedah kekerasan adalah tidak bersesuaian.
Nasihat Husayn yang kini sedang rancak membuat rakaman program al-Quran dan tajwid sebanyak 52 siri terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim): “Janganlah ditakut-takutkan golongan saudara baru itu kerana dibimbangi mewujudkan kerisauan yang bakal menggugat tujuan pengislaman mereka.”

Tiada ulasan: